Lama saya tak menulis dalam topik ini...mungkin terlalu 'alpa' dengan keseronokan hidup di rumah sampai terlupakan dunia di luar sana tu. Terus terang nak beritahu, memang terasa amat lega bila tak perlu lagi memikirkan tentang perkara ini. Tapi, kesian pula kepada mereka yang bertanya dan yang memerlukan maklumat.
Di sini saya akan cuba kongsikan sedikit pengalaman, sambungan daripada artikel terdahulu berkenaan bantuan kewangan kepada usahawan Bumiputera.
Sebelum itu suka saya nak jelaskan (kepada mereka yang belum tahu) bahawa saya cumalah BEKAS pegawai bank dan pengurus dana berkaitan bantuan kepada usahawan Bumiputera. Saya telah pun 'bersara' sejak lebih kurang 3 tahun yang lalu dan sekarang tidak lagi terlibat secara langsung dalam sektor ini. Jadi, serba sedikit maklumat yang saya kongsikan dalam blog ini mungkin telah 'outdated' kerana ianya solely based on my past experience.
Saya tidak bercadang untuk menyajikan maklumat-maklumat terkini dan mohon maaf kerana tidak berupaya memastikan semua fakta adalah yang 'up-to-date', kerana saya dapati sudah terlalu banyak maklumat yang boleh diperolehi melalui laman-laman web dan blog-blog lain yang lebih mengkhusus kepada topik ini.
Ok...merujuk kepada tajuk di atas...
Sebagaimana yang telah saya maklumkan dalam artikel terdahulu, memang banyak dana yang diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu usahawan Bumiputera. Ada yang disalurkan terus melalui agensi-agensi yang diamanahkan untuk menguruskan dana tersebut dan ada juga yang disalurkan melalui bank-bank. Saya akan berikan serba sedikit maklumat tentang agensi-agensi ini di artikel akan datang.
Sebagai seorang usahawan, seseorang itu tidak seharusnya mudah berputus asa sekiranya permohonan untuk mendapatkan bantuan/pinjaman ditolak. Seeloknya permohonan diajukan bukan kepada satu pihak tetapi cubalah hantar kepada seberapa banyak agensi / bank yang boleh.
Sesuatu permohonan itu ditolak mungkin kerana tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan bagi sesuatu dana / tabung yang ada di agensi / bank tersebut. Jadi, sebelum mengemukakan permohonan, pastikan tujuan permohonan dan syarat-syarat yang ditetapkan dipenuhi terlebih dahulu. Jika tidak pasti, eloklah baca dengan teliti semua syarat di dalam brochure/pamphlet yang disediakan, rujuk laman web atau berjumpa sendiri dengan pegawai khidmat pelanggan / pegawai yang berkenaan.
Saya dapati ramai di kalangan usahawan Bumiputera yang mengambil sikap sambil lewa dan ambil mudah tentang perkara ini. Ramai yang menghantar permohonan ala kadar, sebab ada kawan-kawan memohon, maka dia pun nak cuba nasib. Ramai yang tidak mahu membaca dan bersikap acuh tak acuh dengan maklumat yang mereka perlu tahu dan perlu beritahu. Dengan kata lain, mereka tidak serius dengan permohonan yang dihantar, tidak ambil berat tentang maklumat-maklumat yang mereka perlu tahu dan tidak beri kerjasama sepenuhnya untuk memberi maklumat yang lengkap dan jujur apabila diminta.
Sebelum kita marah-marahkan pihak bank kerana menolak permohonan kita dan sebelum kita menyalahkan kerajaan kerana kononnya tidak bertanggungjawab membantu usahawan Bumiputera, seeloknya kita siasat secara terperinci dan dapatkan segala maklumat yang boleh tentang mengapa permohonan kita ditolak.
Adalah TIDAK SALAH sekiranya seseorang pemohon menghubungi semula pihak bank untuk mendapatkan penjelasan mengapa mereka gagal mendapatkan pembiayaan. Ada sesetengah pihak yang mungkin tidak mahu memberi alasan bertulis, jadi jangan segan silu untuk bersemuka untuk mendapatkan penjelasan. Jika sudah tahu apa kelemahan kita, perbetulkan dan kemukakan rayuan.
Sekiranya kita yakin bahawa permohonan kita memang layak dipertimbangkan semula, jangan malu buat permohonan semula atau kemukakan rayuan bertulis besertakan alasan dan dokumen yang lengkap. Jika perlu, buat temujanji untuk berjumpa dengan pegawai atasan untuk memberi penerangan kepada mereka yang terlibat dalam membuat keputusan.
Usahawan yang benar-benar serius dalam perniagaannya, dan yang benar-benar komited untuk mendapatkan pembiayaan demi kemajuan perniagaannya akan sentiasa memikirkan jalan menuju kejayaan. Pihak yang terlibat dalam membuat keputusan hanya menerima maklumat yang dipersembahkan oleh pegawai / kakitangan bawahannya. Mereka tidak berurusan secara langsung dengan pelanggan, maka mungkin terdapat kekurangan atau kesilapan fakta di pertengahan jalan. Jadi, salah satu cara dalam proses membuat rayuan adalah dengan berjumpa mereka ini kerana jika benar anda seorang usahawan sejati, karakter anda boleh dinilaikan dengan lebih baik semasa bersemuka.
Tapi AWAS! Jangan sesekali terlibat dalam rasuah! Sama ada anda cuba memberi atau ada pihak yang meminta, pastikan anda tidak terjerumus. Jika situasi ini berlaku, adukan kepada pihak yang berwajib dengan segera!
No comments:
Post a Comment