Monday, 30 September 2013

HUBUNGAN BAIK

Dalam artikel lepas, saya ada memberikan satu tips semasa membuat rayuan bagi permohonan yang ditolak; iaitu dengan berjumpa pegawai atasan yang terlibat dalam membuat keputusan. Sila baca sini. 

Saya tidak maksudkan yang anda harus melangkau pegawai yang memproses permohonan anda. Sebelum bertindak untuk berjumpa dengan pegawai atasan, PASTIKAN anda memaklumkan pegawai yang berurusan dengan anda terlebih dahulu. Dapatkan pandangan dan nasihat daripadanya. 

Ini adalah bagi memastikan:-
  • anda akan membuat temujanji / berjumpa dengan orang yang betul dan pada masa yang sesuai;
  • mendapat gambaran bagaimana orang yang bakal anda temui kelak - agar anda tidak salah menyusun strategi bagaimana mendekati orang sedemikan;
  • supaya pegawai yang memproses permohonan anda tidak rasa kecil hati seolah-olah anda menidakkan usahanya memproses permohonan anda.
Walaupun perkara ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah orang, namun suka saya nak tegaskan di sini bahawa dalam setiap urusan, HUBUNGAN BAIK atau RELATIONSHIP itu adalah sangat-sangat penting. Jadi, tidak hairan ada bank yang menggunakannya sebagai moto mereka.


(Gambar hiasan dipetik dari Finacle Blog)


Hubungan baik di antara pelanggan dan pihak bank merupakan asas kepada urusan yang lancar. Sebagai usahawan / pelanggan, sentiasalah cuba menjalinkan hubungan baik yang berterusan dengan pihak bank (atau mana-mana agensi berkaitan). Kita bukan ingin berurusan sekali sahaja, kerana bagi menjamin perniagaan yang berterusan, kedua-dua pihak saling memerlukan.


Jangan pula salah ertikan hubungan baik ini. Ia tidak bermaksud anda perlu ajak pegawai berkenaan keluar, belanja makan, berkunjung ke rumahnya dan terpaksa 'entertain' segala keperluannya. Perkara sebegini TIDAK PATUT terjadi.

Hubungan baik antara pelanggan dan pegawai bank adalah hubungan yang profesional. Kedua-dua pihak harus saling menghubungi untuk bertanya khabar, mengikuti perkembangan perniagaan, memberi dan mendapatkan maklumat terkini/semasa dan sedia menghulurkan bantuan bila diperlukan.

Sekiranya seseorang usahawan itu mengamalkan konsep hubungan baik dengan pihak bank ini, InsyaAllah urusan permohonannya di masa-masa akan datang akan lebih mudah. Jika perniagaan mengalami masalah misalnya dan tidak dapat menjelaskan bayran ansuran pinjaman mengikut jadual, segeralah hubungi pihak bank untuk memaklumkannya sebelum mereka menghubungi anda. Beritahu mereka masalah sebenar anda dan beri cadangan bagaimana anda akan menjelaskan bayaran yang tertunggak. Jangan tunggu sehingga surat amaran diterima baru terhegeh-hegeh nak ketuk pintu bank.

Jika suasana sebegini dapat diwujudkan, tidak mustahil pihak bank sendiri akan menghulurkan bantuan tanpa anda minta. Anda mungkin akan diberi kelonggaran untuk tidak membayar beberapa bulan ansuran tanpa dikenakan apa-apa faedah / penalti, mungkin juga pinjaman anda boleh disusun semula, malah bank juga mungkin bermurah hati untuk memberi tambahan pinjaman jika diperlukan.

Semua ini bukanlah perkara yang mustahil. Hubungan baik yang jujur dan ikhlas antara kedua pihak memang membuahkan hasil menakjubkan. Sebenarnya inilah juga resepi rahsia yang diamalkan oleh bangsa lain yang kita sering cemburukan kejayaan mereka. Kalau mereka berjaya membuktikannya, kenapalah usahawan Bumiputera masih lagi ragu-ragu?

Tepuk dada, tanya selera. Seperti yang sering saya tegaskan, saya bukan cerita kosong, tapi semua ini berdasarkan pengalaman. Wallahu'alam.

2 comments:

  1. Menarik....kena buat nih.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana menerima pandangan saya. Harap saudara/i berjaya.

    ReplyDelete