Wednesday, 18 January 2023

Buah Hati Bonda

Assalamualaikum...

Lebih kurang empat tahun yang lepas, saya ada menulis tentang pembelajaran anak-anak saya. Boleh baca artikel ini - Anak saya biasa-biasa aje...

Sekadar nak update perkembangan terbaru tentang anak-anak saya... Yang sulung sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Senibina di Universiti Putra Malaysia. Sebelum ini beliau tamat Diploma Senibina dari Politeknik Ungku Omar dengan sangat cemerlang. Sekarang, setelah empat semester, keputusan beliau sentiasa yang teratas dan tidak pernah mengecewakan. Anugerah Ketua Jabatan sentiasa dalam genggaman. Saya berdoa semoga beliau terus bersemangat untuk belajar dan menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam tempoh setahun lagi, InsyaAllah.

Anak-anak kembar saya hampir menamatkan pengajian Diploma dalam bidang Bioteknologi di Politeknik Nilai. Sekarang sedang menjalani Latihan Industri. Keputusan mereka walaupun tidak sehebat anak sulung saya, namun masih memberangsangkan. Saya berdoa semoga mereka tidak leka dan dapat melanjutkan pengajian Ijazah dalam bidang yang mereka minati kelak.

Dua orang anak saya masih bersekolah, InsyaAllah kedua-duanya di Sekolah Menengah harian yang berhampiran rumah. Nasib dua orang dalam generasi ini ialah tidak diuji dengan peperiksaan besar - tiada UPSR dan PT3. Jadi, tiadalah kayu pengukur standard tentang pencapaian akademik mereka. Namun begitu, berdasarkan ujian-ujian di sekolah, pencapaian mereka sederhana. Yang bongsu agak cemerlang di Sekolah Agama, memperolehi keputusan semua A dalam UPKK dan semua Mumtaz dalam PSRA. Alhamdulillah.

Syukur kepada Allah, dengan didikan yang sederhana, hanya bersekolah di sekolah biasa-biasa, mereka semua masih dapat belajar dengan baik, tidak keciciran dan malah boleh dibanggakan di peringkat pengajian yang lebih tinggi. Sekadar untuk membuktikan yang anak-anak boleh berjaya walaupun tidak dipaksa dari usia terlalu muda dan tidak didera untuk memasuki asrama penuh semata-mata untuk memenuhi cita-cita orang tua... itulah sahaja yang saya ingin sampaikan.

Mungkin...! Mungkin mereka berlima boleh menjadi lebih cemerlang jika saya hantar ke sekolah yang lebih berprestij. Mungkin keputusan mereka boleh jadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Tapi, pada saya bersederhana itu adalah lebih menggembirakan. Saya puas anak-anak saya membesar depan mata, sentiasa berada di sisi saya sepanjang masa, biarpun kita hidup sederhana, tapi ibu ini sangat bahagia.

Saya menulis ini, manalah tahu kalau-kalau anak-anak saya membacanya; kamu semua adalah orang yang biasa-biasa aje di mata orang lain tetapi ketahuilah ibu bangga mempunyai kamu semua. Semoga tidak berkecil hati dengan apa yang ibu tuliskan.. ibu cuma berharap anak-anak ibu yang biasa-biasa aje ini akan jadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara dengan cara yang sederhana. InsyaAllah. 






No comments:

Post a Comment