Assalamualaikum, Selamat Pagi, 早晨 (jóusàhn),
Semasa zaman sekolah menengah, saya gemar menonton drama Kantonis. Salah satu drama yang popular di sekitar tahun 1980an ialah Police Cadet. Drama ini ada beberapa season dan pelakon utamanya ialah Tony Leung yang membawa watak Ah Kit. Selain drama ini saya juga menonton banyak lagi drama bersiri Hong Kong kalau tak silap pada pukul 6 petang setiap hari tetapi sudah tak ingat tajuk-tajuknya. Antara pelakon yang saya minat ialah Lai Ming. Kahkahkah.. kelakar juga bila kenangkan. Ramai kawan-kawan berbangsa Cina semasa di sekolah tahu saya penggemar drama Kantonis. Kadang-kadang mereka beri potongan gambar Lai Ming dari surat khabar. Tapi saya ni minat setakat suka-suka begitu sahajalah. Tidak fanatik sehingga membuat koleksi gambar, biodata dan sebagainya. Tak kuasa pula nak buat semua tu!
Sekarang, dah tua-tua ni, minat pula tonton drama Korea. Maklumlah tv pun banyak betul sajikan kita dengan drama Korea ni, jadi bila dah mula tengok jadi syok pula. Berbanding dengan drama Kantonis yang saya tengok semasa zaman muda, lebih banyak lagi rasanya drama Korea yang saya dah tonton. Mungkin sebab sekarang ni ada lebih banyak masa dan lebih banyak akses.
Sebenarnya bila menonton drama asing ni, kita dapat pendedahan yang berbeza. Selain dapat meninjau lokasi penggambaran yang berbeza, bahasa, budaya, cara hidup yang berbeza, kita juga dapat pendedahan kepada ilmu baru yang mungkin tidak wujud dalam masyarakat tempatan. Sebagai orang dewasa, pada saya tiada masalah untuk kita menonton drama asing walaupun kadang-kadang ada adegan yang tidak sesuai dengan agama dan budaya kita. Ini adalah kerana tujuan utama kita menonton hanyalah sekadar hiburan dan untuk mengambil pengajaran daripada jalan cerita yang dipaparkan. Namun begitu, bagi anak-anak muda sebenarnya wujud juga kegusaran di hati saya sekiranya mereka terlalu taksub dan terpengaruh dengan budaya yang tidak baik sehingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian. Perkara ini patutlah dielakkan.
Berbalik kepada hobi saya menonton drama Korea, selain daripada kisah masyarakat, keluarga dan jenayah, seperti juga yang selalu dihidangkan oleh drama Melayu, saya dapati ada beberapa isu berbeza yang drama Korea suka bangkitkan tetapi tiada dalam drama Melayu. Misalnya:-
- Kewujudan dunia/alam lain (mungkin juga tahyul) yang menyebabkan orang merentasi masa ke zaman silam atau ke zaman akan datang - sesuatu yang menarik ditonton tetapi harus diterima sekadar hiburan;
- Isu khidmat hospital dan doktor pakar yang amat efisien, sehinggakan kadang-kadang terdetik di fikiran, hebat sangatkah perkhidmatan kesihatan di sana berbanding di sini. Pembedahan senang-senang sahaja boleh dilakukan, sedangkan di negara kita kena beratur menunggu giliran;
- Kemalangan jalan raya sering berlaku akibat kenderaan (kebiasaannya lori) yang seakan-akan tidak mempunyai brek, terus merempuh pejalan kaki;
- Dan yang paling mengkagumkan, mereka berjaya mempromosikan makanan mereka dalam setiap drama dan filem yang disajikan sehinggakan kita semua terpedaya dengan kelazatan makanan Korea.
Namun dalam banyak-banyak isu yang diketengahkan itu, saya tertarik dengan isu masalah hilang ingatan, biasanya akibat kemalangan atau kecederaan. Terlalu banyak drama yang memaparkan watak orang hilang ingatan sama ada sementara atau kekal apabila terlibat dalam kemalangan. Hal ini rasanya jarang sangat diadunkan oleh drama Melayu (mungkin ada, tetapi tidak sekerap drama Korea). Tak tahulah sama ada "penyakit" ini sesuatu yang tidak popular dalam masyarakat kita atau sememangnya tidak wujud. Maksud saya di sini ialah penyakit hilang ingatan yang bukan disebabkan usia seperti nyanyuk/dementia atau Alzheimer. Sehinggakan kita dah boleh agak jalan cerita sesuatu drama, kalau kemalangan nanti hilang ingatanlah! :(
Hal ini kadang-kadang menjentik hati saya dan membuatkan saya terfikir... apa akan berlaku jika "penyakit" ini benar-benar wujud dan menimpa diri saya sendiri atau orang di sekeliling saya? Seperti mana yang ditonton dalam drama, kita akan menghayati perasaan sedih kerana tidak dapat mengenali orang-orang yang disayangi dan tidak ingat memori yang dilalui bersama. Betapa peritnya perasaan itu, bukan sahaja bagi diri sendiri tetapi juga orang di sekeliling.
Mungkin orang akan kata saya ni banyak sangat tengok drama sampai boleh terpengaruh...hihihi... Ada betulnya lah juga, tapi bukanlah suatu yang mustahil ia boleh berlaku kan? Lantas, saya bercadang untuk mencurahkan sebanyak memori yang boleh di blog ini, agar suatu hari nanti andai ingatan saya hilang atau berkurang, maka blog ini berupaya mengembalikan memori-memori ini dan mampu membuatkan saya tersenyum sendiri...:)
Inilah satu lagi tujuan blog ini dinukilkan, semoga Allah permudahkan usaha-usaha penulisan saya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment