Kadang-kadang tak tahu tentang sesuatu itu adalah lebih baik daripada tahu. Sebab bila kita dah tahu, membuatkan kita bertambah risau dan kacau.
Misalnya, kalau kita tak tahu yang kita ada sesuatu penyakit, kita akan hidup normal tanpa kerisauan. Tapi sekiranya kita mengambil tindakan untuk ambil tahu dengan pergi jumpa doktor, buat check-up (walaupun tak sakit) dan tiba-tiba kita dimaklumkan terdapat sesuatu penyakit yang dikesan dari ujian darah, x-ray dan sebagainya, maka kita akan mulalah risau...
Jadi, lebih baik tak tahu dan menjalani hidup seperti biasa, atau ambil tahu dan mula risau dan cuba cari ubat?
Ambil tahu hal jiran dan masyarakat sekeliling, silap-silap kita dituduh jaga tepi kain orang. Tapi jika tak ambil tahu dan tak nak masuk campur sembang-sembang kosong di tepi tembok, kita akan dicap sebagai sombong dan tak mahu bermasyarakat.
Misalnya, bila kita sembang-sembang dengan jiran, macam-macam cerita tentang hal kejiranan kita dapat tahu. Si polan si polan bergaduh, rumah si anu kena pecah, rumah kat hujung berhantu, ada orang mengendap dan macam-macam lagi membuatkan kita mula dilanda kerisauan...
Jadi, lebih baik tak tahu dan hidup seperti biasa tanpa ragu dan was-was tentang keselamatan kawasan kejiranan kita, atau ambil tahu dan mula risau?
Kita jenguk-jenguk blog dan portal orang politik, baca surat khabar dan ambil tahu tentang perkembangan politik tanah air; macam-macamlah yang timbul dalam benak kepala. Tapi jika tak ambil tahu, tak membaca dan tak mendengar / menonton berita, maka kita akan jadi macam katak bawah tempurung pula!
Misalnya, semasa nak pilihanraya, macam-macam cerita kita dengar. Baik daripada pihak kerajaan, mahupun pihak pembangkang. Sana sini orang mengata dia yang benar, dia yang salah. Sehingga ada yang mencetuskan kebimbangan akan berlaku huru-hara dan darurat. Kita jadi panik dan kelam-kabut simpan stok makanan dan buat segala persiapan.
Jadi, lebih baik kita ambil tahu dan serabutkan kepala kita supaya kita boleh buat persediaan, atau tak perlu ambil tahu dan teruskan hidup dengan gembira tanpa sebarang syak wasangka?
Begitulah lumrah hidup....tahu salah, tak tahu pun salah!
Apa-apapun biarlah kita bersederhana dalam segalanya. Kalau nak ambil tahu tentang sesuatu perkara, setakat ambil tahu, ambil pengajaran dan jangan terlampau serabutkan kepala. Betul tak? Wallahua'lam..
No comments:
Post a Comment