Assalamualaikum..
Semasa belajar di universiti pada tahun 1990an saya menginp di asrama dalam kampus. Pada zaman itu, bagi pelajar di asrama, makanan disediakan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Yuran asrama akan meliputi sekali yuran makan, jadi jumlah keseluruhan yuran asrama kelihatan agak mahal berbanding yuran pengajian.
Walaupun tidak pernah duduk di asrama semasa zaman sekolah (kerana saya bersekolah di sekolah harian sahaja), saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama. Mungkin juga sebab saya memang telah terdidik dengan aturan makan di rumah. Sejak kecil, kami adik-beradik telah diasuh untuk makan bersama pada setiap waktu tanpa gagal. Mungkin sebab itu tiada kesukaran bagi saya untuk mengikut peraturan di asrama.
Pagi-pagi selepas Subuh terus bersiap untuk ke kuliah dan sebelum itu singgah ke Dewan Makan dan menikmati sarapan. Alhamdulillah, menu di asrama yang saya diami tidak mengecewakan dan tidak seperti yang selalu kita dengar orang komplen tentang `makanan asrama'. Menu setiap hari adalah berbeza dan antara menu yang saya ingat ialah nasi goreng, roti bersama telur setengah masak, mentega dan kaya, kuetiaw, mi goreng, roti canai, chee cheong fun dan bihun goreng. Yang paling saya suka ialah roti canai kerana ia memang dibuat segar di situ. Kita boleh nampak pakcik menebar roti canai dan goreng panas-panas untuk dihidangkan kepada pelajar.
Pada waktu tengahari, saya akan bergegas pulang ke asrama untuk makan tengahari. Walaupun kuliah habis pukul 1 dan akan bersambung semula pada pukul 2, dengan masa satu jam itu saya akan berlari balik menempuh perjalanan turun naik bukit ke asrama semata-mata untuk makan tengahari. Menu makan tengahari juga tak kurang hebat dan kebiasaannya menu pada hari Jumaat agak istimewa seperti nasi minyak, nasi tomato, ayam masak merah dan sebagainya. Seingat-ingat saya macam tak pernah je saya tak balik makan..hehehhee...
Makan malam pula kalau tak silap
saya bermula pada pukul 6 petang. Kalau kuliah petang habis awal, kebiasaannya
sebelum pukul 6 saya dah standby di Dewan Makan :) Makan malam ni bolehlah rilek sikit sebab tak terkejar-kejar. Tapi kadang-kadang tak juga...sebab ada juga kelas yang mula pukul 8 malam pula.
Bila difikirkan balik, sebenarnya waktu-waktu menginap di asrama adalah momen-momen yang indah juga. Walaupun nak makan perlu beratur, lepas makan kena angkat dulang, kadang-kadang makan pun tercekik-cekik sebab nak kejarkan masa, tapi semua itu mengatur hidup kita dengan baik. Walaupun ada juga segelintir pelajar yang tak suka makan di Dewan Makan kononnya tak sedap, tak suka berpusu-pusu, kesuntukan masa atau pun tak standard, semua itu hanyalah minoriti sahaja. Golongan ini biasanya berlagak kaya, walaupun makanan dah disediakan tapi sanggup pula pergi beli di kedai.
Pada saya, sistem yang diguna pakai pada masa dahulu sebenarnya sudah molek. Dengan menyediakan makanan di asrama sebenarnya mengatur hidup pelajar dengan lebih baik. Selain mengajar pelajar berdisiplin, mematuhi peraturan Dewan Makan dan mengajar mengurus masa, sistem itu juga telah memastikan pelajar mendapat makanan yang berkhasiat mengikut masa dengan teratur. Dengan kata lain, pelajar tidak perlu memikirkan apa yang hendak dimakan, bila hendak makan dan di mana hendak membeli makanan. Ibu bapa di rumah pun sebenarnya tidak risau memikirkan sama ada anak-anak makankah atau tidak semasa belajar.
Namun kini sistem menyediakan makanan di asrama sudah tiada lagi di kebanyakan universiti. Dengan cara ini yuran asrama agak rendah berbanding dulu kerana hanya menyediakan penginapan tanpa makanan. Di setiap asrama biasanya ada kafeteria yang dikendalikan oleh orang luar. Pelajar makan ikut sesuka hati bila, bagaimana dan di mana. Kebanyakannya saya dapati makan tidak mengikut masa. Sarapan selalu sahaja diabaikan, sama ada sebab malas bangun pagi atau bangun lewat dan perlu bergegas ke kuliah. Makan tengahari pula kadang-kadang tak sempat sebab kuliah lambat habis atau banyak sangat tugasan. Akibatnya sehingga petang baru nak cari makan. Itu pun nasib kadang-kadang ada kafeteria yang sudah tutup sebab hanya dibuka pada waktu pejabat. Lebih menyedihkan pula kalau kafeteria buka tapi makanan tiada!
Begitulah nasib pelajar universiti sekarang. Ada yang suka kerana kononnya sistem baru ini dapat menjimatkan wang. Bila nak makan baru keluar duit. Kalau tak makan, tak perlu bayar. Berbeza dengan sistem lama, yuran makan sudah dibayar awal-awal lagi. Makan atau tidak di Dewan Makan tiada siapa yang akan bayar ganti rugi. Itu kata pihak yang menyokong sistem menyediakan makanan dihapuskan.
Walaupun betullah kenyataan itu, tapi bagi saya sistem lama lebih banyak baik daripada buruk. Sistem baru walaupun boleh menjimatkan wang kerana orang yang tak makan banyak mungkin boleh jimat lebih duit, tapi secara keseluruhannya ia cenderung menjuruskan pelajar ke kehidupan yang tidak teratur. Semakin ramai yang tidak lagi mempunyai rutin makan yang betul tetapi cuma makan bila berkesempatan. Hal ini walaupun nampak enteng, tapi sebenarnya ia akan memudaratkan tubuh sendiri. Makan yang tidak teratur dan pemakanan yang tidak terjaga, kurang berkhasiat, terlampau banyak makanan segera, semua ini akan menyebabkan kesihatan merosot dan meningkatkan risiko penyakit.
Saya menulis berdasarkan pengalaman diri sendiri yang mengikuti sistem lama dan pengalaman memerhatikan anak-anak sendiri yang hidup dalam sistem baru. Saya kasihan melihat betapa mereka bergelut dengan kehidupan di asrama, makan yang tidak teratur, sistem kafeteria yang sangat mundur dan ketidakprihatinan pihak pentadbir terhadap isu ini. Semua ini bukan sahaja telah mencacatkan keseronokan hidup di asrama, namun sudah terbawa ke dalam kehidupan luar asrama. Walaupun telah dididik untuk makan bersama keluarga pada setiap waktu makan, namun nilai ini sudah mula terhakis hari demi hari dek kerana kekangan sistem yang gagal. Betapa malangnya generasi sekarang!
No comments:
Post a Comment