Berdoa ~ nampak sangat simple tapi sering diabaikan.
Paling kurang, selepas solat, panjatkanlah doa kepadaNya, pohonlah apa sahaja padaNya. Namun saya sering alpa. Lepas solat, tak sabar-sabar nak tanggalkan telekung atas alasan panas. Baca doa, zikir ala kadar sekadar syarat. Jarang benar bersungguh-sungguh.
Itulah lumrah manusia seperti saya. Sering lalai dan ambil mudah. Tidak sedar betapa hebatnya kuasa "berdoa".
Pengalaman di tanah suci membuka mata saya seluas-luasnya tentang 'the power of DOA'. Memang benar kata orang, apa sahaja yang terlintas di hati secara ikhlas, walaupun tidak dilafazkan, Allah makbulkan. Subhanallah, Maha Suci Allah. Allahuakbar, Allah Maha Besar.
Mustajabnya doa dan agungnya tanah suci itu memang sukar saya huraikan. Saya akui memang benar segala apa yang orang katakan, segala apa yang diceritakan oleh ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan tentang kehebatan tanah haram itu. Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa atas segala-galanya.
Di sana, segala yang kita fikirkan mustahil, tidak mustahil boleh berlaku... hanya berdoa dan berserah padaNya. Di sana, sesuatu yang sukar boleh jadi mudah. Sesuatu yang pelik boleh jadi realiti. Masya Allah.
Saya sering 'membebel' kepada anak-anak ~ kalau tak pernah minta, siapa yang nak bagi? Kalau berkehendakkan sesuatu, mesti kita minta dari ibu, abah. Dan bila diminta, kadang-kadang ditunaikan, kadang-kadang tidak. Samalah permohonan kita kepada Allah. Kalau kita tak pernah meminta, memohon apa yang dihajati, adakah Allah nak beri?
Mahu keputusan peperiksaan yang baik? Mohonlah dengan Allah. Nak pandai, cantik, bijak? Mohonlah dengan Allah. Apa sahaja permintaan, mohonlah dengan Allah. Allah tentu makbulkan kalau kena caranya. Tapi adakah kamu minta? Saya pasti jarang sangat anak-anak saya meminta dariNya.
Itulah ruginya kita. Ruginya saya kerana "lupa" hendak meminta dariNya. Pengajarannya ialah berdoalah tidak kira bila dan di mana. Bukan hanya terbatas kepada berdoa selepas solat, tetapi bila-bila sahaja kita rasa mahukan sesuatu, berdoa dan minta hanya padaNya. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.
Ya Allah, ampunkanlah hambaMu yang alpa ini.