Thursday, 19 January 2023

Menyimpan Memori Di Sini...

Assalamualaikum, Selamat Pagi, 早晨 (jóusàhn), 

        Semasa zaman sekolah menengah, saya gemar menonton drama Kantonis. Salah satu drama yang popular di sekitar tahun 1980an ialah Police Cadet. Drama ini ada beberapa season dan pelakon utamanya ialah Tony Leung yang membawa watak Ah Kit. Selain drama ini saya juga menonton banyak lagi drama bersiri Hong Kong kalau tak silap pada pukul 6 petang setiap hari tetapi sudah tak ingat tajuk-tajuknya. Antara pelakon yang saya minat ialah Lai Ming. Kahkahkah.. kelakar juga bila kenangkan. Ramai kawan-kawan berbangsa Cina semasa di sekolah tahu saya penggemar drama Kantonis. Kadang-kadang mereka beri potongan gambar Lai Ming dari surat khabar. Tapi saya ni minat setakat suka-suka begitu sahajalah. Tidak fanatik sehingga membuat koleksi gambar, biodata dan sebagainya. Tak kuasa pula nak buat semua tu!

        Sekarang, dah tua-tua ni, minat pula tonton drama Korea. Maklumlah tv pun banyak betul sajikan kita dengan drama Korea ni, jadi bila dah mula tengok jadi syok pula. Berbanding dengan drama Kantonis yang saya tengok semasa zaman muda, lebih banyak lagi rasanya drama Korea yang saya dah tonton. Mungkin sebab sekarang ni ada lebih banyak masa dan lebih banyak akses.

        Sebenarnya bila menonton drama asing ni, kita dapat pendedahan yang berbeza. Selain dapat meninjau lokasi penggambaran yang berbeza, bahasa, budaya, cara hidup yang berbeza, kita juga dapat pendedahan kepada ilmu baru yang mungkin tidak wujud dalam masyarakat tempatan. Sebagai orang dewasa, pada saya tiada masalah untuk kita menonton drama asing walaupun kadang-kadang ada adegan yang tidak sesuai dengan agama dan budaya kita. Ini adalah kerana tujuan utama kita menonton hanyalah sekadar hiburan dan untuk mengambil pengajaran daripada jalan cerita yang dipaparkan. Namun begitu, bagi anak-anak muda sebenarnya wujud juga kegusaran di hati saya sekiranya mereka terlalu taksub dan terpengaruh dengan budaya yang tidak baik sehingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian. Perkara ini patutlah dielakkan.

Wednesday, 18 January 2023

Buah Hati Bonda

Assalamualaikum...

Lebih kurang empat tahun yang lepas, saya ada menulis tentang pembelajaran anak-anak saya. Boleh baca artikel ini - Anak saya biasa-biasa aje...

Sekadar nak update perkembangan terbaru tentang anak-anak saya... Yang sulung sedang melanjutkan pengajian dalam bidang Senibina di Universiti Putra Malaysia. Sebelum ini beliau tamat Diploma Senibina dari Politeknik Ungku Omar dengan sangat cemerlang. Sekarang, setelah empat semester, keputusan beliau sentiasa yang teratas dan tidak pernah mengecewakan. Anugerah Ketua Jabatan sentiasa dalam genggaman. Saya berdoa semoga beliau terus bersemangat untuk belajar dan menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam tempoh setahun lagi, InsyaAllah.

Anak-anak kembar saya hampir menamatkan pengajian Diploma dalam bidang Bioteknologi di Politeknik Nilai. Sekarang sedang menjalani Latihan Industri. Keputusan mereka walaupun tidak sehebat anak sulung saya, namun masih memberangsangkan. Saya berdoa semoga mereka tidak leka dan dapat melanjutkan pengajian Ijazah dalam bidang yang mereka minati kelak.

Masa Yang Hilang...

Assalamualaikum...

Rupa-rupanya sudah setahun saya tidak menulis di blog. Tiada satu pun artikel yang saya terbitkan sepanjang tahun 2022. Wah! Sibuk sangat ke?

Bila difikir-fikirkan balik, tiadalah apa yang sibuk sangat pun sepanjang tahun lepas. Antara acara penting tahun lepas ialah majlis perkahwinan anak buah saya dan penganjuran Hari Keluarga yang sudah dua tahun tidak diadakan. Itu sahaja acara besarnya.. :) Tapi kenapalah agaknya sibuk sangat ye.. heh..heh..

Mungkin tahun 2022 saya banyak menghabiskan masa beraktiviti luar. Maklumlah sejak penghujung 2019, sepanjang 2020 dan 2021, pergerakan kita semua sangat terbatas dek wabak Covid 19 yang melanda seluruh dunia. Tahun 2022, apabila kita semua diberi kelonggaran untuk bebas keluar seperti sedia kala, maka mungkinlah saya sendiri mengambil kesempatan itu untuk membalas dendam.. hihi..

Masa tidak pernah menunggu kita. Sekelipan dua tahun berlalu tanpa sedar. Kini dah tahun 2023. Sudah pun 18 hari berlalu.. umur pun dah makin lanjut. Tahun ini bakal menyambut Jubli Emas. Syukur Alhamdulillah, Allah masih memberi nafas dan peluang. Aku bermohon semoga diberikan kesihatan yang baik dan diperteguhkan imanku supaya tidak terleka dibuai masa dan tidak alpa beramal dengan usia yang entah berapa bersisa.

Selamat Tahun Baru 2023.... harap masih belum terlambat untuk mengucapkannya! :)