Sepuluh hari menjelajah Jepun bukanlah masa yang lama. Tambahan pula dua hari perlu ditolak atas urusan rasmi. Walaupun sebahagian besar tempat-tempat menarik di Jepun telah dilawati, namun sebenarnya masih banyak lagi yang tidak sempat diterokai.
Dalam lima artikel yang lepas, banyak yang telah saya ceritakan berkenaan JR Pass. Tidaklah saya mendapat apa-apa faedah pun kerana mempromosikan pass tersebut. Tetapi saya percaya, jika ada yang membaca artikel-artikel tersebut tentu terbuka minda untuk mengkaji apa yang saya katakan.
Di dalam kebanyakan blog berkaitan pengembaraan ke Jepun, saya dapati tidak ramai yang berkongsikan berkenaan perkara ini. Justeru itulah saya sangat berharap perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh ramai pembaca.
Membeli pass-pass yang saya cadangkan dalam artikel-artikel terdahulu merupakan saranan kepada pelancong yang pertama kali melawat Jepun. Pass-pass itu dapat memberi panduan perjalanan kepada kita yang tidak ada idea langsung ke mana hendak dituju.
Namun begitu, bagi mereka yang sudah biasa dan bagi mereka yang tidak suka terikat dengan pilihan tertentu, mungkin merasakan menggunakan pass menyekat kebebasan. Jadi, terpulanglah kepada penilaian masing-masing.
Seperkara lagi yang ingin saya kongsikan ialah berkenaan HyperDia. HyperDia merupakan laman web yang menyediakan jadual perjalanan keretapi dan kapal terbang di Jepun. Laman ini akan mencadangkan beberapa pilihan laluan ke destinasi yang dituju, lengkap dengan tarikh, masa, stesen dan nombor trek. Ianya sangat membantu untuk kita merancang perjalanan.
Contoh jadual yang terdapat di HyperDia
Meninggalkan Jepun dengan seribu kenangan manis akan selalu tersimpan di hati. Benarlah kata pepatah; "Jauh perjalanan, luas pemandangan". Indahnya Jepun, majunya Jepun, hebatnya Jepun memang saya kagumi. Namun Malaysia tiada galang gantinya. Sayonara Japan!