Assalamualaikum..
Semasa belajar di universiti pada tahun 1990an saya menginp di asrama dalam kampus. Pada zaman itu, bagi pelajar di asrama, makanan disediakan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Yuran asrama akan meliputi sekali yuran makan, jadi jumlah keseluruhan yuran asrama kelihatan agak mahal berbanding yuran pengajian.
Walaupun tidak pernah duduk di asrama semasa zaman sekolah (kerana saya bersekolah di sekolah harian sahaja), saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama. Mungkin juga sebab saya memang telah terdidik dengan aturan makan di rumah. Sejak kecil, kami adik-beradik telah diasuh untuk makan bersama pada setiap waktu tanpa gagal. Mungkin sebab itu tiada kesukaran bagi saya untuk mengikut peraturan di asrama.
Pagi-pagi selepas Subuh terus bersiap untuk ke kuliah dan sebelum itu singgah ke Dewan Makan dan menikmati sarapan. Alhamdulillah, menu di asrama yang saya diami tidak mengecewakan dan tidak seperti yang selalu kita dengar orang komplen tentang `makanan asrama'. Menu setiap hari adalah berbeza dan antara menu yang saya ingat ialah nasi goreng, roti bersama telur setengah masak, mentega dan kaya, kuetiaw, mi goreng, roti canai, chee cheong fun dan bihun goreng. Yang paling saya suka ialah roti canai kerana ia memang dibuat segar di situ. Kita boleh nampak pakcik menebar roti canai dan goreng panas-panas untuk dihidangkan kepada pelajar.