Kalau terlibat dalam sektor kredit, kita tak akan boleh lari dari mengenali cik CTOS dan cik CCRIS. Siapakah cik berdua ini yang sangat popular bila kita nak buat pinjaman?
Saya akan cuba ceritakan dengan bahasa yang paling mudah - atau dengan kata lain, dengan bahasa pasar. Mungkin apa yang akan saya terangkan adalah kurang tepat dari segi teknikalnya, tapi tujuan saya ialah untuk memberi kefahaman kepada mereka yang tiada atau kurang pengetahuan dalam bidang kewangan dan tidak mahu memeningkan kepala mereka dengan terma2 yang pelik2.
CTOS dan CCRIS adalah dua benda yang berbeza walaupun seringkali digunakan bersama. Boleh diandaikan mereka berdua ini adalah pasangan kembar tidak seiras.
CTOS memaparkan rekod2 yang kurang baik - atau lebih mudah kalau saya katakan mereka yang ada rekod pinjaman tak berbayar. Jadi, bukan semua orang akan ada rekod CTOS. Kalau CTOS mengeluarkan "record not found", maka kita patut rasa lega.
Manakala CCRIS pula memaparkan semua rekod pinjaman yang kita ada di semua institusi kewangan. Ia meliputi kedua2 rekod yang baik dan buruk. Jadi, kebanyakan orang pasti akan ada rekod CCRIS (kecuali mereka yang tak pernah buat pinjaman dengan bank - saya rasa ini agak jarang berlaku pada zaman sekarang).
Pinjaman dalam konteks ini termasuklah (tetapi tidak terhad kepada) pinjaman perumahan, sewa beli kereta dan kad kredit.
Biasanya apabila kita hendak membuat pinjaman (sama ada pinjaman peribadi atau perniagaan), pihak institusi kewangan akan membuat semakan CTOS dan CCRIS. Tujuan utamanya ialah untuk mengetahui latar belakang kredit pemohon - sama ada mereka pernah membuat pinjaman sebelum ini dan bagaimanakah rekod pembayaran mereka. Jadi, apabila kita hendak membuat sesuatu permohonan itu, sebaiknya beritahu sahaja kepada pegawai bank berkenaan semua hutang piutang yang kita ada kerana jika kita berselindung pun, biasanya mereka akan tahu.
Rekod CTOS diperolehi daripada sebuah syarikat bernama CTOS Data System Sdn Bhd. Anda boleh merujuk kepada website ini http://www.ctos.com.my/ untuk maklumat lanjut. Untuk mendapatkan rekod ini, seseorang perlu mendaftar dan bayaran dikenakan. Biasanya seseorang individu tidak mendapatkan rekod CTOS sendiri tetapi carian dibuat oleh pihak institusi kewangan.
Manakala rekod CCRIS diperolehi daripada Bank Negara Malaysia. Rekod ini diperolehi secara percuma dan seseorang individu hanya perlu membawa kad pengenalan ke BNMLINK. Anda boleh rujuk website ini http://creditbureau.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.
Sebagai kesimpulannya, kalau kita nak buat pinjaman, kita tak akan boleh lari daripada mendengar komen2 berkenaan CTOS dan CCRIS. Tetapi jika kita tiada masalah dalam pembayaran pinjaman2 terdahulu, maka tak perlu nak risau. Jika ada rekod buruk, seeloknya diselesaikan dahulu sebelum pihak institusi kewangan yang mengetahui terlebih dahulu.
Sekian, selamat membuat pinjaman!
No comments:
Post a Comment