Thursday, 25 April 2024

Resepi Kuih Bakar Bijan

Dalam artikel yang lepas, saya telah kongsikan resepi Kuih Bakar Klasik. Kuih yang berwarna kuning dan agak manis. Suami saya tidak berapa minat dengan kuih bakar tersebut tetapi lebih gemar kepada kuih bakar versi kurang manis.

Jadi, di sini saya akan kongsikan resepi kuih bakar bijan yang berwarna hijau dan mempunyai rasa yang kurang manis. Resepi ini juga saya perolehi daripada emak saya, walaupun sebenarnya beliau kurang gemar dan jarang membuat kuih bakar versi ini berbanding dengan kuih bakar klasik.

Berbanding dengan kuih bakar klasik, kuih bakar bijan ini tidak tahan lama dan cepat basi / berlendir jika tidak disimpan di dalam peti sejuk. Jadi, jika anda buat banyak, eloklah simpan di dalam peti sejuk atau boleh juga dibekukan dan bila hendak makan, hanya masukkan ke dalam oven dan panaskan.

Kuih bakar bijan ini boleh dibuat menggunakan acuan tembaga / besi seperti mana juga kuih bakar klasik, tetapi kalau malas, boleh sahaja dibakar di dalam loyang biasa.

Resepi Kuih Bakar

Kuih bakar ini ialah kuih tradisional yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang saya. Rasanya agak manis dan berlemak. Bagi penghidap kencing manis atau mereka yang tidak gemar makanan manis, mungkin tidak suka kuih ini.

Kuih ini mesti dibakar dalam acuan berbunga yang diperbuat daripada tembaga atau besi. Dahulu kala, kuih ini sering dibuat bila ada kenduri kendara dan kadang-kadang digunakan juga sebagai juadah di dalam dulang hantaran perkahwinan. Bila dihias dengan ceri di setiap kelopaknya, memang nampak cantik dan authentic

Beginilah rupa acuan tembaga untuk kuih bakar yang saya ambil dari google.

Resepi Kuih Seri Muka

Kalau saya sebut kuih Pulut Tetal, pastinya ramai yang akan terpinga-pinga. Tetapi tahukah anda, selain daripada nama Seri Muka, kuih ini juga dipanggil Pulut Tetal. Kenapa? Saya pun tak tahu.. ! 😂

Yang pastinya, kuih ini memang kegemaran seisi keluarga. Emak saya pakar membuat kuih Seri Muka dan saya cuba dapatkan resepi daripadanya walaupun katanya dia buat main agak-agak sahaja. Maklumlah, orang dulu-dulu banyak yang tiada sukatan tertentu. Mereka main campak, lebuk, kacau sesedap rasa. Namun disebabkan kepakaran mereka, campak lebuk debuk itu menjadi sahaja.. 😂

Ini ialah resepi yang emak saya kongsikan. Katanya puas dia cuba menyukat dan hasilnya lebih kurang beginilah. Kuih mak saya memang lembut, jadi rupanya mungkin tidak cantik seperti yang biasa orang jual. Kalau nak rupa kuih yang cantik dan senang dipotong, kenalah tambah lebih tepung. Tetapi jika lebih tepung, rasanya akan kurang kick. Jadi, saya lebih suka resepi mak saya. Biarlah kurang cantik tapi rasanya lazat.

Wednesday, 24 April 2024

Pulut Kuning

Pulut kuning biasanya dihidangkan dalam majlis khatam Al-Quran, majlis perkahwinan, majlis sambutan hari lahir dan sebagainya. Ianya satu menu istimewa yang biasanya hanya dijumpai di majlis-majlis tertentu. Pulut kuning sedap dimakan dengan rendang ayam atau daging.

Semasa kecil, mak saya akan membuat pulut kuning untuk dihantar ke tempat mengaji apabila kami adik beradik khatam Al-Quran. Saya masih ingat lagi pulut kuning diletakkan di dalam sepinggan hidang yang bujur, di atasnya diletakkan rendang beralaskan daun pisang yang telah dipotong berbunga-bunga. Di kelilingnya dihiasi dengan timun yang telah diukir cantik, udang galah goreng, ikan tenggiri goreng dan hirisan telur dadar. Waahhh membayangkannya sahaja sudah cukup menyelerakan. Pulut kuning akan dihantar kepada Pak Tuan iaitu guru mengaji kami di Masjid Kg Baru. Bersama-samanya juga kami hadiahkan sepersalinan seperti kain pelikat dan baju sebagai tanda penghargaan kepada guru yang telah berjasa mengajar kami. 

Kami berempat beradik semuanya selesai mengaji Al-Quran dengan Pak Tuan. Setiap kali khatam, kami akan menghadiahi Pak Tuan sebegini. Pak Tuan tak pernah minta, malah yuran bulanan pun tidak ditetapkan, bagi sahajalah berapa yang ikhlas katanya. Tak bagi pun tak mengapa. Sungguh besar jasa Allahyarham, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan mengurniakan syurga buatnya. Jasa Pak Tuan kami tidak pernah lupa.

Donut, Pau, Pau Goreng, Cakoi, Puri

Dalam artikel yang lepas, saya telah kongsikan resepi donut yang saya biasa buat. Ianya mungkinlah bukan resepi terbaik dan tersedap tetapi yang paling mudah untuk saya buat. Dah banyak kali saya buat donut menggunakan resepi tersebut dan Alhamdulillah menjadi.

Kali ini saya ingin kongsikan resepi untuk membuat pau, pau goreng, cakoi dan puri. Dengan menggunakan satu resepi, kita sebenarnya boleh menghasilkan sehingga lima jenis kuih. Sekali lagi, ini mungkin bukanlah resepi terbaik, tetapi ianya praktikal bagi orang seperti saya yang agak pemalas. 😅 

Resepi Donut

Donut memanglah makanan kegemaran saya seisi keluarga. Secara peribadi, saya suka donut Big Apple terutamanya yang topping kekacang. Anak-anak pula ada yang suka donut Krispy Kreme, Dunkin Donut, malah ada juga yang suka donut yang dijual di bakeri seperti La Boheme, Lotus dan Aeon. Pendek kata, apa sahaja jenis donut pun mereka suka je. 😅

Namun begitu, kata suami saya, dia paling suka donut yang saya buat. Hmmm... tak tahulah betul-betul ke atau sekadar nak sedapkan hati saya sahaja. Jadi, saya selalulah juga buat donut sendiri. Ada macam-macam resepi donut ni, baik di internet mahu pun daripada buku resepi lama saya. Tapi saya ni biasanya suka buat resepi yang mudah sahaja asalkan rasanya boleh tahan. Jadi, di sini saya kongsikan resepi donut yang saya dah olah dan biasa buat. Agak mudah dan cepat sebab cuma uli dengan tangan. 

Satu resepi, pelbagai rupa 😁


Resepi Popis

Popis ialah singkatan bagi Popia Pisang. Makanan ni asalnya diperkenalkan kepada saya oleh anak-anak. Maklumlah budak-budak.... ada sahaja makanan baru yang viral, yang trending mesti mereka nak cuba. Mereka beli dan bagi saya rasa. Mulanya rasa pelik. Sebab dah biasa makan popia mestilah intinya sayur. Ini tiba-tiba pula pisang yang biasa kita makan sebagai pisang goreng tapi dah dibalut pula dengan kulit popia.

Yang menariknya saya rasa mungkin pada toppingnya. Ada yang dihias dengan coklat, cheese, biscoff, nutella, cornflakes, oreo dan macam-macam lagilah. Budak-budak bila nampak cantik je, mereka memang senanglah tertarik.

Bukan susah pun nak buat popia pisang ni. Cuma perlukan dua bahan utama sahaja iaitu kulit popia dan buah pisang. Toppingnya ikutlah apa yang ada di dapur. 

Kebelakangan ini, pokok pisang di belakang rumah menjadilah pula. Dah beberapa kali pisang nangka dan rastali berbuah (of course lah bukan pokok pisang yang sama berbuah banyak kali.. anak-anaknya lah 😂). Oleh kerana stok pisang yang banyak, sampai jemu pula nak makan pisang goreng sahaja, maka pada suatu hari, saya terfikir untuk mencuba buat popia pisang ini. Di sini, saya kongsikan bahan dan cara membuatnya:-

Kek Plum

Resepi kek ini ialah dari emak saya. Beliau pula mewarisi resepi ini dari nenek atau pun ibu saudara saya. Maknanya ini adalah resepi rare yang saya tak pernah jumpa lagi di mana-mana. 😅 Kalau tengok nama kek ini mungkin ramai yang sangka buah plum adalah antara bahannya. Tetapi anda silap!. Buah plum tiada kaitan langsung dalam resipi ini. 😁 Saya rasa kek ini dinamakan sebegitu mungkin sebab warnanya yang coklat keperangan seakan buah plum. Mungkinlah... tapi mungkin juga tidak. Wallahua'lam.

Gambar buah plum diambil dari google

Walau apa pun namanya, kek ini mempunyai rasa yang unik. Sedap, lemak, manis. Namun begitu, cara penyediaannya agak sedikit rumit. Dulu-dulu tiada mixer, jadi terpaksa pukul dengan tangan macam proses membuat bahulu tradisional. Lenguh juga tangan memukul sebab telur putih bukan senang nak naik gebu kalau tak pukul betul-betul.

Tuesday, 23 April 2024

Resepi Biskut Cornflakes

Biskut cornflakes ni dah wujud sejak zaman saya kecil-kecil lagi. Banyak versi resepi ini, tetapi saya suka yang paling terkini yang saya buat. Saya suka cornflakes yang tidak terlalu hancur sebab suka rasa garingnya bila digigit dan kunyah. Kata orang sekarang crispy and crunchy. Berikut ialah resepinya:-

Resepi Samperit Cheese

Biskut samperit cheese ni bagi saya agak baru. Sebelum-sebelum ni, sejak dari kecil lagi, saya biasa dengan biskut samperit tradisional sahaja. Sama ada yang berbentuk panjang atau yang berbentuk bunga yang biasanya orang panggil samperit dahlia.

Tahun ini pertama kalinya saya mencuba untuk membuat samperit cheese... sebab anak bongsu suka. Maklumlah sekarang ni semua benda nak tambah cheese. 😅

Saya dah cuba dua resepi iaitu yang menggunakan hanya 4 bahan dan resepi kedua yang menggunakan lebih banyak bahan. Kedua-dua resepi saya ambil di internet. Daripada pemerhatian saya, resepi pertama yang menggunakan 4 bahan menghasilkan biskut yang cantik putih gebu, tetapi rasa yang agak plain. Manakala resepi kedua yang menggunakan lebih banyak bahan, menghasilkan biskut yang sedikit kekuningan tetapi mempunyai rasa yang lebih sedap. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai tekstur yang sangat lembut, kena berhati-hati bila memegang kerana kelopaknya amat rapuh. Bila masuk ke mulut, ianya cair seakan kuih bangkit dan akan melekat-lekat di lelangit dan celah gigi.. 😆

Secara peribadinya, saya kurang gemar dengan biskut ini, tetapi suami dan anak bongsu pula suka. Jadi saya kongsikan resepi di sini supaya senang dirujuk jika saya ingin buat lagi di tahun-tahun akan datang, jika ada permintaan. 😄

Resepi ini saya telah olah mengikut sukatan cawan untuk lebih mudah. Resepi yang menggunakan 4 bahan saya tidak kongsikan di sini sebab saya rasa kurang sedap. Kalau anda berminat, boleh google sahaja dengan mudah.

Resepi Cok Cip

Nama sebenar biskut ini ialah Chocolate Chip. Tapi saya commercialised kan namanya sebagai Cok Cip agar lebih catchy dan senang disebut.😃 

Ada banyak resepi biskut ini di internet, tetapi kebanyakannya menggunakan bahan asas yang sama, cuma sukatan yang berbeza-beza. Saya dah banyak kali buat biskut ini sempena Hari Raya iaitu sejak 2016 lagi. Resepi yang saya kongsikan di bawah ialah resepi paling ideal yang saya dapat simpulkan setelah berkali-kali buat. Alhamdulillah, biskut menjadi dengan baik dan sedap. 

Resepi Biskut Almond London


Nama biskut ni Almond London atau London Almond, saya pun tak pasti. Dari mana asal usul nama ni pun saya tak pasti. Tak kisahlah apa pun namanya, tapi saya suka makan biskut ni. 😄

Sebelum ni pernah juga beberapa kali buat tapi tak berapa menjadi, mungkin bahan tak cukup. Baru-baru ini saya buat dengan bahan yang agak lengkap dan Alhamdulillah rasanya sedap. 

Jadi di sini saya kongsikan resepinya, mengikut apa yang saya buat. Bahan-bahan yang saya tidak masukkan (kerana tiada), saya tidak tulis di sini. Kerana tanpa bahan tersebut pun biskut sudah cukup sedap.

Resepi di Tahun Baru

Assalamualaikum....

Tahun 2024 ~ sudah bulan yang keempat baru berkesempatan menulis di sini. Idea tu ada, tapi peluang mencurahkannya di sini agak terbatas. Jadi, sebagai pembukaan tirai blog di tahun 2024 ini, saya bercadang untuk berkongsi resepi-resepi masakan, kuih-muih, biskut raya dan sebagainya yang saya sendiri telah mencubanya. 

Kebanyakannya adalah resepi turun-temurun, resepi orang lama yang saya suka nak kongsikan di sini sebagai rujukan sendiri di masa-masa akan datang. Ada juga resepi lama yang saya ubahsuai mengikut selera sendiri dan ada juga resepi moden yang saya ambil dari internet. Terima kasih kepada yang telah berkongsi resepi-resepi mereka dan semoga dihalalkan ilmu tersebut. Saya juga mengizinkan sesiapa sahaja yang ingin mencuba resepi-resepi yang saya kongsikan di blog saya. Semoga kita sama-sama mendapat manfaatnya.

Saya akan kongsikan resepi-resepi tersebut di artikel-artikel yang berasingan. Jadi, jika anda berminat, boleh klik di link di bawah:-

 



Nota : Sukatan cawan / mangkuk yang ditulis di dalam resepi ialah sukatan mangkuk standard (measuring cup) yang biasa digunakan oleh pembuat kek, tukang masak dan sebagainya. Ia banyak dijual di pasaran.

Gambar hiasan dari google